Ttg Amalan

Sebuah hadis :

“Rasulullah s.a.w. Bersabda”

يتبع الميت ثلاثة، فيرجع اثنان ويبقى معه واحد، يتبعه أهله وماله وعمله، فيرجع أهله وماله ويبقى معه عمله

maksudnya: “Tiga perkara akan menurut orang mati ke kuburnya, kemudian dua daripadanya akan balik dan tinggal atu bersama-samanya, ia akan diturut oleh keluarganya, hartanya dan amalnya, kemudian keluarganya dan hartanya akan balik, dan tinggallah amalnya bersama-samanya.”

(hadis sahih: Riwayat Bukhari Muslim tirmizi dan Nasa’i)

Renungilah wahai rakan2 (diriku terutamanya), apalah ertinya lagi kita didunia ini apabila Roh kita telah dicabut dari jasad untuk menghadapnya, insaflah sebelum kita tiada ruang lagi untuk menginsafi diri. Harta yang melimbun, anak-anak yang ramai, isteri yang cantik tidak lagi mengikuti kita di waktu itu… tetapi AMALAN kita sendiri adakah kita berdiri di atas Bumi Allah ini sebagai hambanya, menjalankan AMANAH yang diberikan kepada kita atau tidak. Mungkin sekarang bukan waktunya untuk kita memikirkan soal ini… tapi bila??? bilakah kita mahu dan akan berfikir…. bilakah diri ini,  akan berfikir menyesal atas perbuatannya, memikirkan masa hadapannya….  bukan masa hadapannya di dunia tapi masa hadapannya di SANA…
Ya Allah ampunilah dosa hambamu ini,  dosa kedua ibu bapaku,ahli keluargaku, guru-guruku, sekalian muslimin dan muslimat samada yang masih hidup atau mati yang telah berjasa kepadaku melakukan bakti menegakkan agamaMu, bimbinglah kami, menuju ke jalan kebenaran, Sebagaimana jalan yang telah ditunjukkan oleh RasulMu, jauhkanlah kami dari kesesatan dan tipu daya dunia…..berkatilah hidup kami Ya Allah.. Ya Rabbal A’lamin…

Amin..

BERIMAN KEPADA ALLAH/ASAS -ASAS MAKRIFATULLAH

dipetik dari MASTIKA HADIS JAKIM JILID 1.

Hadis No. 1.

1- عَنْ أَبِي مَعْبَدٍ عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِمُعَاذِ بْنِ جَبَلٍ حِينَ بَعَثَهُ إِلَى الْيَمَنِ إِنَّكَ سَتَأْتِي قَوْمًا أَهْلَ كِتَابٍ فَإِذَا جِئْتَهُمْ فَادْعُهُمْ إِلَى أَنْ يَشْهَدُوا أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ.

Dari Abu Ma’bad dari Ibn Abbas r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda kepada Mu’az bin Jabal ketika Baginda s.a.w mengutusnya ke negeri Yaman “.. Sebenarnya engkau akan sampai kepada suatu kaum:  Ahli kitab, kemudian apabila engkau menemui mereka, maka serukanlah supaya mereka meyakini bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan bahawa sesungguhnya Nabi Muhammad ialah pesuruh Allah .”

وَفِي رِوَايَةٍ ( فَلْيَكُنْ أَوَّلَ مَا تَدْعُوهُمْ إِلَى أَنْ يُوَحِّدُوا اللَّهَ تَعَالَى )

Menurut satu riwayat yang lain (Baginda s.a.w. bersabda): …”Maka hendaklah dakwah yang mula-mula engkau kemukakan kepada mereka ialah supaya mereka mengakui keEsaan Allah Taala...”

وَفِي رِوَايَةٍ ( فَلْيَكُنْ أَوَّلَ مَا تَدْعُوهُمْ إِلَيْهِ عِبَادَةُ اللَّهِ )

Dan pada satu riwayat pula, (Baginda s.a.w. bersabda) “…Maka hendaklah perkara yang mula-mula sekali engkau mengajak mereka kepadanya ialah (tunjang atau asas) ibadat kepada Allah. ..”

(البخاري ومسلم)

(Bukhari dan Muslim)

Hadis yang pertama ini mengandungi tentang:

(1) Islam berkembang dengan jalan dakwah.

(2) Pemilihan Baginda s.a.w. tentang orang-orang yang ditugaskan berdakwah.

(3) Dakwah Islamiah wajib disampaikan kepada umat manusia termasuk kaum Yahudi dan Nasrani.

(4) Asas agama ialah Ma’rifat Allah.

Huraiannya:

(1) Islam berkembang dengan jalan dakwah.

Islam – sebagaimana yang sedia maklum – adalah agama yang berasaskan i’tiqad atau kepercayaan mengenal perkara-perkara yang telah ditentukan oleh Allah dan Rasul-Nya, yang wajib dipegang teguh oleh setiap penganutnya.

Untuk meresapkan sesuatu kepercayaan ke dalam hati, tak dapat tidak berkehendakkan kebijaksanaan dan cara yang sebaik-baiknya dalam masa menjalankan dakwah dengan memberi penerangan yang jelas dan berkesan, sesuai dengan keadaan zaman dan keadaan orang-orang yang ditujukan dakwah Islamiah itu kepadanya.

Aqidah kepercayaan tidak akan dapat dimasukkan ke dalam jiwa seseorang dengan jalan kekerasan atau paksaan dan Islam tidak dikira sah jika seseorang itu pura-pura Islam pada zahirnya sedang hatinya kosong dari aqidah kepercayaan yang diakui dan diyakininya.

Dengan itu nyatalah tidak benarnya orang-orang yang mengatakan bahawa Nabi Muhammad s.a.w.  telah menyebarkan Islam dengan pedang kerana kuasa pedang tidak dapat memasukkan kepercayaan ke dalam hati seseorang. Peperangan Jihad yang pernah dilancarkan oleh Baginda s.a.w. adalah untuk membela Islam dan umat Islam dari pencerobohan musuh.

(2) Pemilihan Baginda s.a.w. tentang orang-orang yang ditugaskan berdakwah.

Dakwah adalah satu tugas yang penting dalam Islam kerana kepadanyalah bergantung maju mundurnya perkembangan Islam.  Oleh itu maka pihak yang berkuasa bertanggungjawab melantik orang-orang yang layak menjayakannya.

Rasulullah s.a.w. telah melantik orang-orang yang menjalankan tugas ini dari kalangan guru-guru agama,  pegawai-pegawai daerah dan lain-lainnya. Di antaranya ialah Mu’az bin Jabal yang tersebut perihalnya dalam hadis ini.

Mu’az diutuskan oleh Baginda s.a.w. ke negeri Yaman pada tahun yang kesepuluh hijrah – sebelum daripada Baginda berangkat ke Mekah untuk menunaikan “Haji Wadaa”.

Mu’az dipilih oleh Baginda s.a.w. menjalankan tugas dakwah Islamiah di negeri Yaman bukan sahaja kerana kelayakannya sebagai seorang ahli agama yang pengetahuannya mendalam tentang Islam tetapi juga kerana ia berasal dari Yaman yang mengetahui selok belok negeri itu dan tabiat serta adat resam penduduknya.

Mu’az ditugaskan menjalankan dakwah kepada sekalian penduduk daerah Yaman yang masih belum Islam dan oleh kerana di antaranya golongan ahli kitab (kaum Yahudi) yang pada umumnya berilmu pengetahuan,  maka Baginda s.a.w. mengingatkan Mu’az supaya ia bersedia menghadapi mereka dengan cara yang lain dari cara menghadapi orang-orang yang tidak berilmu pengetahuan.

(3) Dakwah Islamlah wajib disampaikan kepada umat manusia termasuk kaum Yahudi dan Nasrani.

Nabi Muhammad s.a.w.  diutus oleh Allah Taala kepada umat manusia seluruhnya. Tiap-tiap seorang yang hidup dalam zaman Baginda s.a.w. atau yang datang kemudian, sama ada ia Yahudi,  atau Nasrani,  atau penyembah berhala atau lain-lainnya, wajib beriman kepada Baginda s.a.w. dan menerima agama Islam yang dibawanya.

Tiap-tiap seseorang tidak sah imannya kepada Allah Taala selagi ia tidak beriman kepada sekalian Rasul-Nya – mulai dari Nabi Adam hinggalah kepada Nabi Muhammad s.a.w.

Kaum Yahudi dan Nasrani yang dipanggil dengan nama “Ahli Kitab” (pengikut kitab-kitab Taurat dan Injil), bukan sahaja telah mengubah dan merosakkan ajaran kitab-kitab mereka tetapi telah menyeleweng dari i’tiqad Tauhid yang sebenar.

Mereka mendakwa bahawa mereka beribadat kepada. Allah Taala, tetapi “Allah” menurut fahaman mereka yang telah rosak itu hanyalah nama sahaja bukanlah Allah yang bersifat dengan sifat-sifat yang diterangkan oleh Allah sendiri di dalam al-Qur’an dan diterangkan oleh rasul-Nya. Maha Suci Allah dari apa yang mereka katakan itu.

(4) Asas agama ialah Ma’rifat Allah.

Islam ialah agama ciptaan Allah yang diturunkan melalui Rasul-rasulnya yang diakhiri dengan Nabi Muhammad s.a.w. untuk keselamatan dan kebahagiaan umat manusia di dunia dan di akhirat.

Dalam agama Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w terkandung hukum-hukum dan amalan-amalan meliputi segala bidang hidup, dari perkara yang sebesar-besarnya hingga kepada yang sekecil-kecilnya dan semuanya itu bergantung kepada satu asas yang penting – “Marifat Allah”, iaitu mengenal Allah Subhanahuwataala dan mengakui keEsaanNya.

Hakikat ini telah disimpulkan oleh ulama Tauhid dalam kalimah “Awalud Din Ma’rifat Allah” (asas agama ialah mengenal Allah), iaitu intisari dari maksud hadis yang kami sebutkan dalam bab ini.

Jelasnya, sebagaimana sesebuah bangunan bergantung kepada asasnya tentang teguh kukuh atau tidaknya, maka demikianlah pula halnya “Ma’rifat Allah” itu, tiap-tiap seorang wajib memahaminya supaya meresap dan sebati dalam jiwanya sehingga menjadi satu keyakinan yang dapat mempengaruhi seluruh perasaan dan gerak langkahnya untuk memikul tanggungjawab menjalankan hukum-hukum Islam dan amalannya.

Sekiranya asas Ma’rifat ini tidak kukuh dan hanya dalam peringkat sangkaan semata-mata, maka inilah sebabnya seseorang itu tidak merasa bertanggungjawab dalam menjalankan hukum-hukum dan amalan yang tersebut dengan sepenuhnya.

Ma’rifat Allah wajib pada syarak dan juga wajib pada akal.

Tiap-tiap seorang manusia apakala ia lahir ke alam wujud ini, ia akan dapat menerima berbagai-bagai nikmat yang tidak terhitung.

Di antaranya ialah tubuh badannya dilengkapkan dengan nikmat-nikmat yang tidak ternilai seperti mata,  telinga dan lain-lainnya yang tidak dapat diberi oleh sesiapa pun dari kalangan manusia sendiri atau makhluk-makhluk yang lain

Maka tidaklah patut bagi orang yang menerima nikmat itu kalau ia tidak mahu mengenal siapakah pemberinya dan tidak mahu bersyukur akan pemberian yang sangat-sangat berharga itu.

Sikap yang demikian, tak dapat disangkal lagi tentang tidak patutnya kalau difikirkan oleh orang-orang yang berakal siuman yang menggunakan akalnya dengan jujur.  Lebih-lebih lagi tidak patut kalau orang itu menggunakan nikmat pada bukan tempatnya dan ia pula menentang serta menderhaka kepada yang melimpahkan nikmat itu kepadanya. Kerana sikap yang demikian menggambarkan ketiadaan peri kemanusiaan.

Allah Taala Yang Maha Pemurah,  lagi Amat Mengasihani, yang melimpahkan nikmat-nikmat-Nya yang tidak terhitung kepada sekalian makhluk,  telah mengingatkan manusia supaya mengenal-Nya dan mengakui keEsaanNya, dengan firmanNya : فَاعْلَمْ أَنَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُyang maksudnya memerintahkan manusia supaya masing-masing berusaha mencari jalan mengenal-Nya dengan sepenuh-penuh yakin, kerana Dialah Pencipta manusia dan alam seluruhnya, dan Dialah juga yang mengurniakan segala nikmat yang mereka gunakan dalam alam kehidupan ini.

Dengan ini jelaslah bahawa “Ma’rifat Allah” (mengenal Allah) itu hukumnya wajib pada syarak sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah Taala dan juga diakui wajibnya oleh akal yang siuman.

Sesiapa yang tidak mahu mengambil berat mengenal Allah,  sedang ia sentiasa menggunakan nikmat-nikmat pemberian-Nya maka sikapnya yang demikian adalah bertentangan dengan “Fitrah insaniah” (keaslian perikemanusiaannya) dan melanggar perintah Allah Taala serta mencuaikan kegunaan akalnya sendiri.

Jalan yang menyampaikan kepada ma’rifat.

Cara mengenal sesuatu sudah tentu dengan jalan mengenal sifat-sifatNya. Maka demikianlah pula cara mengenal Allah Taala, yang wajib al Wujud, tak dapat tidak dengan jalan mengenal sifat-sifat-Nya. Tetapi sifat-sifat Allah Yang Maha Tinggi dan Maha Kuasa itu tidak dapat dicapai dengan pancaindera,  hanya dapat diyakini dari kesan sifat-sifatnya yang ternyata pada kejadian-kejadian alam yang diciptakan-Nya.

Meskipun manusia dilengkapkan dengan akal untuk memikir dan menimbang apa yang diperhati dan ditelitinya dari kejadian-kejadian alam yang tercipta dengan indah dan teratur,  bahkan manusia disuruh berbuat demikian untuk kebaikan dan keselamatan dirinya di dunia dan di akhirat, tetapi akal manusia itu adalah terbatas setakat perkara-perkara dan benda-benda yang ada dalam alam nyata yang dapat dicapai oleh pancaindera dan alat-alatnya sahaja. Maka dengan keadaannya yang demikian, sudah tentu ia tidak dapat memikirkan sama sekali tentang zat Allah Taala yang bukannya dari jenis-jenis benda dan tidak ada sesuatu pun yang menyamaiNya.